Penurunan al-Quran dalam tujuh huruf
بِسْمِ اللهِ الرَّحمَنِ الرَّحِيم
Banyak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat mengenai Al-Quran diturunkan
dalam tujuh huruf. Al-Sayuti menyebut ia diriwayatkan oleh 21 orang sahabat. Manakala
Abu ‘Ubayd al-Qasim bin Salam menaskan bahawa ia hadis yang mutawatir. Antaranya, Rasulullah
SAW bersabda;
ان هذا القرأن أنزل على سبعة أحرف فاقرأوا ما تيسر منه
“Sesungguhnya Al-Quran ini diturunkan atas tujuh huruf, maka bacalah
kamu mana yang mudah daripadanya.”
(HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaei, Ahmad dll).
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna tujuh huruf tersebut. Menurut Ibnu
Hibban, beliau mengatakan ulama berbeza pendapat tentang makna tujuh huruf sehingga
35 pendapat . Manakala Al-Sayuti mengatakan sehingga 40 pendapat.
Kebanyakan pendapat-pendapat ini tiada beza antara satu sama lain. Saya akan cuba
bawakan beberapa pendapat yang penting dan lebih mendekati kebenaran:
i. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau
makna. Maksudnya apabila berlaku perbezaan antara bahasa-bahasa Arab dari segi penggunaan lafaz untuk sesuatu makna, Quran akan diturunkan dengan lafaz-lafaz tersebut. Apabila tiada perbezaan, Quran akan diturunkan dengan satu lafaz atau lebih.
Ulama juga khilaf pada menentukan tujuh bahasa tersebut, satu pendapat menyatakan: Quraisyi, Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman;
ii. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab dengan ia Al-Quran diturunkan. Maksudnya Quran secara keseluruhannya tidak terkeluar dari menggunakan tujuh
bahasa ini.
iii. Tujuh wajah iaitu: amr(perintah), nahyu (larangan), wa’d (janji) ‘ wa’id (ancaman),
‘jadal (perdebatan); atau Qasas (cerita) dan masal (perumpamaan) atau amr, nahyu,
halal, haram, muhkam, mutashabih, dan amsal;
iv. Tujuh huruf adalah tujuh macam hal yang di dalamnya terjadi ikhtilaf (perbezaan)
iaitu Ikhtilaf al-asma’ (perbezaan Kata benda) dalam bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti tasniyah jamak dan ta’nis; Perbezaan dalam segi I’rabb
(harakat akhir kata); Perbezaan dalam tasrif; Perbezaan dalam takdim (mendahulukan)
dan ta’khir (mengakhirkan); Perbezaan dalam segi ibdal (penggantian) baik pengertian
huruf dengan huruf; Perbezaan kerana ada penambahan dan pengurangan ikhtilaf
(ziadah); dan Perbezaan lahjah seperti bacaan tafkim (menebalkan) dan tarqiq
(menipiskan) fathah dan imalah, izhar dan idgham, hamzah dan tashil, isymam dan
sebagainya;
v. Bukan pengertian harfiah tetapi lebih kepada isyarat lambang kesempurnaan bahasa
Arab, kerana lafaz ‘Sab’ah’ digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan satuan
seperti ‘70’ dalam bilangan puluhan, ‘700’ dalam bilangan ratusan dan bukannya
bilangan 1 hingga 10. Kata ‘Sab’ah’ bukan ditujukan pada bilangan tertentu.
vi. Tujuh huruf bermakna Qiraat Tujuh.
Pendapat yang paling masyhur mengenai pentafsiran Sab’atu Ahruf adalah pendapat
Ar- Razi dikuatkan oleh Az-Zarkani dan didukung oleh jumhur ulama. Perbezaan yang
berkisar pada tujuh wajah;
i. Perbezaan pada bentuk isim , antara mufrad, tasniah, jamak muzakkar atau
mu’annath. Contohnya,
وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (Al-Mukminun: 8)
Lafaz bergaris dibaca secara jamak لأمَانَاتِهِم dan mufrad لأمَانتِهِمْ .
ii) Perbezaan bentuk fi’il madhi , mudhari’ atau amar. Contohnya,
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَاٍ (Saba’ : 19)
Sebahagian qiraat membaca lafaz ‘rabbana’ dengan rabbuna, dan dalam kedudukan
yang lain lafaz ‘ba’idu’ dengan ‘ba’ada’.
iii) Perbezaan dalam bentuk ‘irab. Contoh, lafaz إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ (Al-Baqarah: 282)
dibaca dengan disukunkan huruf ‘ra’ sedangkan yang lain membaca dengan fathah.
iv) Mendahulukan (taqdim) dan mengakhirkan (ta’khir). Contoh,
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَق (Surah Qaf: 19) dibaca dengan didahulukan ‘al-haq’ dan
diakhirkan ‘al-maut’, وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْحَق بِالْمَوْتِ . Qiraat ini dianggap lemah.
v) Perbezaan dalam menambah dan mengurangi. Contoh ayat 3, Surah al-Lail,
وَمَا خَلَقَالذَّكَرَ وَالأنْثَى
Ada qiraat yang membuang lafaz ‘ma kholaqo’(bergaris).
vi) Perbezaan ibdal (ganti huruf). Contoh, kalimah ‘nunsyizuha’ dalam ayat 259 Surah al-Baqarah dibaca dengan ‘nunsyiruha’ (‘zai’ diibdalkan dengan huruf ‘ra’).
vii) Perbezaan lahjah seperti dalam masalah imalah, tarqiq, tafkhim, izhar, idgham dan sebagainya. Perkataan ‘wadduha’ dibaca dengan fathah dan ada yang membaca dengan
imalah (teleng) dengan bunyi ‘wadduhe’ (sebutan antara fathah dan kasrah).
PENDAPAT YANG PALING RAJIH
Pendapat yang paling rajih dari semua pendapat di atas adalah pendapat pertama yang menyatakan tujuh huruf sebagai tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab
yang mempunyai satu erti atau makna, contohnya : اقبل، وتعال، وهلم، وعجل، وأسرع
Semuanya lafaz-lafaz berbeza yang mempunyai makna yang satu. Pendapat ini
dipegang oleh Sufyan bin ‘Uyainah, Ibnu Jarir, Ibnu wahb dan lain-lain.
Ibn Abdil Barr menisbahkan pendapat ini kepada sebahagian besar ulama dan dalilnya
terdapat dalam hadis Abu Bakrah; “Jibril mengatakan: “Wahai Muhammad , bacalah
Quran dengan satu huruf.” Lalu Mikail mengatakan: ‘Tambahkan’ “Jibril berkata lagi .”
Dengan dua huruf!” Jibril terus menambahnya hingga sampai enam atau tujuh huruf.
Lalu ia berkata : “ semua itu ubat penawar yang memadai, selama ayat azab tidak
ditutup dengan ayat rahmat , dan ayat rahmat tidak ditutup dengan ayat azab .
Ibn ‘Abdil Barri menyebut: “ Maksud hadis ini hanyalah sebagai contoh bagi huruf-huruf
yang dengannya Al-Quran diturunkan . Ketujuh huruf itu mempunyai makna yang sama pengertiannya, tetapi berbeza di segi bunyi ucapannya. Tidak satu pun di antaranya yang mempunyai makna yang saling berlawanan atau satu sudut yang berbeza makna dari
sudut lain secara berlawanan . Misal rahmat lawan dari azab .
Pendapat pertama ini disokong oleh banyak hadis lain.
HIKMAH DITURUNKAN DENGAN TUJUH HURUF
Hikmah di sebalik Allah menurunkan Al-Quran dengan tujuh huruf ialah:
1. Memudahkan kaum-kaum Arab yang ummi (tidak pandai membaca dan menulis)
yang diturunkan Quran ke atas mereka untuk membaca dan menghafalnya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf, maka bacalah ia
dengan bacaan yang mudah daripadanya.”
Dalam hadis riwayat Muslim juga diterima menerusi Ubay, beliau bersabda yang
bermaksud, “Wahai Ubai! Aku diperintahkan agar membacakan Al-Quran dengan satu
huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril agar diberi kemudahan bagi umatku
dan dia menjawab agar aku membacanya dengan dua huruf . Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi lagi keringanan untuk umatku . Maka dia menjawab untuk yang
ketiga kalinya . “ Bacalah Al-Quran itu dengan tujuh huruf.”
2. Sebagai menguatkan mukjizat Al-Quran. Penurunan Al-Quran dengan 7 bahasa Arab
sebagai cabaran untuk seluruh Arab, bukan kepada kabilah yang tertentu.
3. Mukjizat Quran pada makna-makna dan hukum-hakam. Perubahan-perubahan
bentuk lafaz pada beberapa huruf dan kalimah menyediakan Al-Quran untuk proses
istinbat (pengeluaran) hukum dan menjadikan hukum Al-Quran sesuai sepanjang masa
dan zaman. Kerana itulah ulama perlu kepada 7 qiraat dalam proses istinbat dan ijtihad.
Oleh itu bacaan Al-Quran tujuh huruf itu bukanlah rekaan atau ciptaan Nabi
Muhammad SAW, tetapi malaikat Jibril yang mengajarnya mengikut kesesuaian perintah
Allah, Rasulullah SAW diperintahkan supaya tidak tergesa-gesa bila membaca Al-Quran
tetapi dikehendaki setelah sempurna diwahyukan dan ikut cara Jibril membacanya.
Rasulullah SAW juga dilarang oleh Allah meniru Jibril membaca ayat dari ayat sebelum
Jibril a.s selesai membacakannya agar baginda dapat menghafal dan memahaminya
dengan betul setiap ayat yang diturunkan.
Allah SWT berfirman :
وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ
Ertinya : “ Dan jangan lah kamu tergesa gesa dalam membaca Al-Quran
Sebelum disempurnakan mewahyukannya .” (Taha: 114)
FirmanNya lagi:
فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ
Ertinya “ Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.
(Al-Qiamah: 18).
Rujukan: مباحث في علوم القرأن لمناع القطان
Al-Quran merupakan petunjuk dan pedoman umat Islam dan merupakan mukjizat terbesar dan teragung diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf ( سبعة أحرف ) memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Penurunan al-Quran dengan tujuh huruf ini bermula pada zaman dakwah baginda di Madinah setelah dakwah Nabi Muhammad s.a.w. semakin meluas ke Tanah Arab.
Orang Arab mempunyai pelbagai lahjah ( dialek ) yang timbul dari fitrah mereka dari suara dan huruf-huruf. Setiap kabilah mempunyai sebutan sendiri dalam mengucapkan kata-kata yang tidak dimiliki oleh kabilah lain. Namun begitu, semua suku bangsa Arab menjadikan bahasa Quraisy sebagai bahasa ibunda kerana bahasa Quraisy mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Oleh itu, al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy kerana Nabi Muhammad s.a.w. juga berbangsa Quraisy untuk memudahkan mereka memahaminya.Tetapi apabila orang Arab berbeza lahjah dalam mengungkapkan sesuatu makna dengan perbezaan tertentu, maka al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyempurnakan kemukjizatannya merangkumi semua huruf dan wajah qiraah di antara lahjah-lahjah itu.Ini memudahkan mereka untuk membaca, menghafal dan memahaminya.
Berikut merupakan beberapa hadis yang menunjukkan penurunan al-Quran dalam tujuh huruf :
1) Dari Ibn ‘Abbas r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya : “Jibril a.s mengajar aku membaca al-Quran dengan beberapa huruf, aku memintanya menambah huruf tersebut lalu ia menambahkannya sehinggalah berakhir dengan tujuh huruf .”
2) Dari Ubay Ibn Ka’ab r.a. meriwayatkan : “ Ketika Rasulullah s.a.w. berada di mata air Bani Ghifar, Jibril a.s. datang kepadanya seraya berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan kamu mengajar al-Quran kepada umatmu dengan satu huruf (bentuk dan kaedah). Baginda bersabda: Aku memohon kesejahteraan dan keampunanNya, sesungguhnya umatku tidak mampu. Kemudian datang Jibril kali kedua dan berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan kamu mengajar al-Quran kepada umatmu dengan dua huruf, baginda bersabda: Aku memohon kesejahteraan dan keampunanNya, sesungguhnya umatku tidak mampu. Sehinggalah datang kali ketiga dan kali terakhirnya iaitu yang keempat Jibril a.s. berkata: Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan kamu mengajar al-Quran kepada umatmu dengan tujuh huruf dan mana huruf yang mereka baca sesungguhnya ia adalah betul dan tepat .”
3) Dari Umar ibn al-Khattab r.a. meriwayatkan, dia berkata,maksudnya : Aku mendengar Hisham Ibn Hakim membaca surah al-Furqan ketika Rasulullah s.a.w. masih hidup. Aku mendengar bacaannya tiba-tiba dia membaca mengikut huruf yang banyak yang Rasulullah s.a.w. tidak mengajarku. Aku terasa ingin menariknya dalam sembahyang, tetapi aku menunggunya sehingga dia selesai sembahyang. Lantas aku menarik bajunya dan berkata : Siapakah yang mengajar kamu membaca surah ini? Beliau menjawab:Rasulullah s.a.w. Aku berkata: Kamu bohong, demi Allah !Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah mengajar aku surah ini, lalu aku mengheretnya kepada Rasulullah s.a.w. dan aku berkata : Wahai Rasulullah s.a.w. sesungguhnya aku telah mendengar lelaki ini membaca surah Furqan mengikut huruf yang tidak kamu mengajar kepadaku.Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Umar,lepaskannya dan baca wahai Hisham. Lalu Hisham membaca bacaan yang aku mendengarnya tadi. Sabda Rasulullah s.a.w. demikianlah al-Quran diturunkan. Dan Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya al- Quran ini diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah kamu semua apa yang mudah darinya .”
Ikhtilaf tentang makna tujuh huruf
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna tujuh huruf tersebut sehingga 35 pendapat. Kebanyakan pendapat-pendapat ini tidak ada beza antara satu sama lain. Tetapi di sini, kita akan melihat beberapa pendapat yang penting :
1) Sebagai 7 jenis bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang berbeza lafaznya tetapi mempunyai satu erti atau makna.
Maksudnya , apabila berlaku perbezaan antara bahasa-bahasa Arab dari segi penggunaan lafaz untuk sesuatu makna, al-Quran akan diturunkan dengan lafaz tersebut. Apabila tiada perbezaan, al-Quran akan diturunkan dengan satu lafaz atau lebih.
Ulama juga berselisih pendapat dalam menentukan 7 bahasa tersebut, satu pendapat menyatakan : Quraisy, Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman.
Dan Abu Hatim As-Sajistari menambah lagi 3 jenis bahasa iaitu Azad, Rabi’ah dan Sa’ad bin Bakar selain Quraisy, Huzail, Tamim dan Hauzan.
2) Sebagai 7 jenis bahasa daripada bahasa-bahasa Arab, al-Quran diturunkan. Maksudnya, al-Quran secara keseluruhannya tidak terkeluar dari menggunakan 7 bahasa ini, terutamanya yang paling fasih bahasa yang paling banyak digunakan adalah bahasa Quraisy.
3) Sebagai 7 wajah iaitu : Antaranya, Amar ( perintah ), Nahi ( larangan ), Wa’ad ( janji ), Wa’id ( ancaman ), Jadal ( perdebatan ), Qasas ( cerita ) dan Masal ( perumpamaan ) atau Amar, Nahi, Halal, Haram, Muhkam, Mutashabih dan Amsal.
4) Sebagai 7 huruf adalah tujuh perkara yang terdapat pelbagai ikhtilaf di dalamnya, iaitu :
i) Perbezaan al-asma’ dalam bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti ( tasniyah, jamak dan ta’nis ).
Contohnya :
وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ﴿٨﴾
( Al-Mu’minun : 8 )
Lafaz bergaris dibaca secara jamak لأماناتهم dan mufrad لأمانتهم .
ii) Perbezaan dari segi I’rab.
Contohnya :
مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِنْ هَـٰذَا إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ ﴿٣١﴾
( Yusuf : 31 )
Sebahagian jumhur ulama membaca dengan nasb بشرًا menggunakan lughah ahlul Ijaz, manakala Ibn Masu’d membacanya dengan raf’بشرٌ menggunakan lughah bani Tamim.
iii) Perbezaan dalam tasrif.
Contohnya :
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ ﴿١٩﴾
( Saba : 19 )
Sebahagian qiraaat membaca lafaz ربَّنَا dengan ربُّنَا dan dalam kedudukan yang lain lafaz باعد dengan باعدَ .
iv) Perbezaan dalam takdim dan ta’khir.
Contohnya :
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَقِّ ۖ ذَٰلِكَ مَا كُنتَ مِنْهُ تَحِيدُ﴿١٩﴾
( Qaf : 19 )
Dibaca dengan didahulukan الحق dan diakhirkan الموت . Qiraat ini dianggap lemah.
v) Perbezaan dalam ibdal dari segi penggantian huruf dengan huruf.
Contohnya :
وَانظُرْ إِلَى الْعِظَامِ كَيْفَ نُنشِزُهَا ثُمَّ نَكْسُوهَا لَحْمًا ۚ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ قَالَ أَعْلَمُ أَنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٢٥٩﴾
( Al-Baqarah : 259 )
Kalimah ننشزها dibaca dengan ننشرها ( zai diibdalkan dengan huruf ra’ ).
vi) Perbezaan dalam penambahan dan pengurangan kalimah.
Contohnya :
وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ ﴿٣﴾
( Al-Lail : 3 )
Sebahagian qiraat ada yang membuang lafaz ما خلق .
vii) Perbezaan dalam lahjah sama ada bacaan dengan tebal atau nipis, fathah dan imalah, izhar dan idgham, hamzah dan tahlil, isymam dan sebagainya.
Contohnya :
وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَىٰ ﴿٩﴾
( Taha : 9 )
Dibaca أتى dan موسى dengan imalah ( teleng ). Sebutannya antara fathah dan kasrah.
5) Sebahagian ulama berikhtilaf tentang bilangan 7 huruf yang disebutkan lebih kepada isyarat lambang kesempurnaan bahasa Arab kerana lafaz “Sab’ah” digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan seperti “70” dalam puluhan , “700” dalam bilangan ratusan dan bukan menunjukkan pada bilangan tertentu.
6) Sebagai 7 huruf bermakna Qiraat Tujuh.
Kesimpulan daripada keterangan di atas dapatlah kita fahami bahawa sesungguhnya penurunan al-Quran dalam 7 huruf itu adalah thabit ( tetap ) berdasarkan hadis-hadis yang mutawatir tanpa sebarang keraguan. Wallahua’lam.